Kisah Dada Baginda Rasulullah SAW Dibelah Malaikat Jibril

Kisah Dada Baginda Rasulullah SAW Dibelah Malaikat Jibril

Kisah Dada Baginda Rasulullah SAW Dibelah Malaikat Jibril, Apa yang berada dalam fikiran anda jika mendengar jiran sebelah rumah anda dibelah dadanya oleh orang yang tidak dikenali tanpa mempunyai kelulusan kedoktoran atau menggunakan alatan yang canggih.

Namun, jiran anda masih boleh meneruskan hidup dengan baik tanpa mengalami apa-apa kesan yang buruk seolah-olah tiada apa yang terjadi. Pasti dalam fikiran anda berita itu adalah suatu yang tidak masuk akal atau ia sekadar khabar angin yang dibuat orang.

Begitulah hakikat yang pernah terjadi pada junjungan besar kita, iaitu Nabi Muhammad SAW dan ia merupakan antara peristiwa luar biasa yang berlaku dalam sejarah kenabian.

Istilah tidak logik itu perlu digantikan dengan perkataan luar biasa kerana ia merupakan irhas (perkara luar biasa) yang berlaku kepada para rasul sebelum diangkat secara rasmi sebagai nabi.

Peristiwa ini dikatakan telah berlaku sewaktu Baginda berusia sekitar empat hingga enam tahun sewaktu masih dalam jagaan ibu susuannya, iaitu Halimatul Saadiah.

Menyucikan Peribadi Baginda Daripada Sifat Mazmumah

Sewaktu Baginda sedang bermain bersama kanak-kanak yang lain, Baginda telah didatangi malaikat yang telah mengambil dan membelah dadanya dalam keadaan sedar dan pantas.

Malah, apabila melihatkan kejadian itu, kanak-kanak lain telah bertempiaran pulang dan memaklumkan kepada Halimatul Saadiah dengan berita Nabi Muhammad telah dibunuh.

Peristiwa tersebut diceritakan sebagai sebuah simbolik menyucikan dada Baginda daripada syaitan-syaitan yang telah berada di dalam dadanya dan bagi menghalangnya daripada digoda syaitan. Itulah simbolik penyucian luar biasa yang berlaku kepada Baginda SAW sebelum diangkat secara rasmi menjadi rasul.

Malah, menurut beberapa riwayat mengatakan bahawa, dada Baginda telah dibasuh dan disucikan dengan air zam zam serta terdapat kesan jahitan pada dadanya.

أَتَاهُ جِبْرِيلُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَلْعَبُ مَعَ الْغِلْمَانِ، فَأَخَذَهُ فَصَرَعَهُ، فَشَقَّ عَنْ قَلْبِهِ، فَاسْتَخْرَجَ الْقَلْبَ، فَاسْتَخْرَجَ مِنْهُ عَلَقَةً، فَقَالَ: هَذَا حَظُّ الشَّيْطَانِ مِنْكَ، ثُمَّ غَسَلَهُ فِي طَسْتٍ مِنْ ذَهَبٍ بِمَاءِ زَمْزَمَ، ثُمَّ لَأَمَهُ، ثُمَّ أَعَادَهُ فِي مَكَانِهِ، وَجَاءَ الْغِلْمَانُ يَسْعَوْنَ إِلَى أُمِّهِ – يَعْنِي ظِئْرَهُ – فَقَالُوا: إِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ قُتِلَ، فَاسْتَقْبَلُوهُ وَهُوَ مُنْتَقِعُ اللَّوْنِ “، قَالَ أَنَسٌ: «وَقَدْ كُنْتُ أَرَى أَثَرَ ذَلِكَ الْمِخْيَطِ فِي صَدْرِهِ

Maksud: “Baginda SAW telah didatangi oleh malaikat Jibril AS ketika Baginda sedang bermain-main bersama budak kecil yang lain. Maka, Jibril AS telah mengambil Baginda lalu merebahkan Baginda kemudian Jibril telah membelah dada baginda dengan mengeluarkan segumpal darah daripada hati Baginda sambil berkata: “Ini adalah bahagian syaitan yang terdapat di dalam dirimu.” Kemudian Jibril menyucikannya di dalam sebuah bekas yang diperbuat daripada emas dengan menggunakan air zam zam. Setelah itu, Jibril menjahitnya kembali dan mengembalikan Baginda kepada ke tempat permainannya tadi. Budak-budak kecil yang bermain bersama Baginda pergi mengadu kepada ibunya dengan mengatakan bahawa: “Muhammad telah dibunuh.” Orang ramai menyambut Baginda SAW yang dalam keadaan pucat kerana Baginda masih dalam keadaan ketakutan. Anas berkata: “Aku telah melihat kesan jahitan tersebut di dada Baginda.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 162)

Wallahu a’alam… Semoga bermanfaat, jangan lupa kongsikan kepada sahabat-sahabat dan saudara-saudara kita yang lain…

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*